Flag Of Malaysia

Official Malaysian Government Website. 
Here’s how you know

Official government websites end with .gov.my. If the link does not end with .gov.my, exit the website immediately even if it looks similar.

Look for a lock icon or https:// as an added precaution. If not present, do not share any sensitive information.

Bgcobalt Batik

Kuala Lumpur, 31 Julai 2025 – YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim hari ini telah membentangkan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) 2026-2030 dengan tema “Melakar Semula Pembangunan” demi mengangkat martabat rakyat. RMK13 merealisasikan aspirasi Ekonomi MADANI untuk menaikkan darjat rakyat dan menstruktur semula ekonomi negara sebagai kesinambungan kepada usaha yang telah diperkenalkan semenjak dua tahun lalu oleh Kerajaan MADANI. RMK13 dipetakan kepada tiga teras utama, iaitu Memperkukuh Tatakelola Baik, Menaikkan Siling dan Menaikkan Lantai. RMK13 telah menggariskan sembilan tumpuan yang disusun mengikut tiga teras Ekonomi MADANI dengan matlamat untuk mengangkat darjat dan martabat negara dengan meningkatkan kualiti hidup rakyat serta menstruktur semula ekonomi dan meningkatkan daya saing negara ke arah menjadikan Malaysia peneraju ekonomi Asia Tenggara.

TERAS: MEMPERKUKUH TATAKELOLA BAIK

Prakasa 1: Memastikan Perkhidmatan Telus, Tangkas dan Tuntas

Penyampaian perkhidmatan awam yang cekap dan berkesan ke arah sistem pentadbiran yang responsif dan berorientasikan rakyat, sekali gus memperkukuh kepercayaan rakyat dan menyokong pertumbuhan yang lebih mampan.

TERAS: MENAIKKAN SILING

Prakasa 2: Menuju Negara Berteraskan Kecerdasan Buatan

Malaysia menjadi negara berteraskan kecerdasan buatan (AI) yang terangkum dan mampan serta berperanan sebagai hab pengeluar teknologi digital serantau dalam penciptaan inovasi serta penghasilan produk dan perkhidmatan ‘Made by Malaysia’.

Prakasa 3: Melonjakkan Pertumbuhan Industri HGHV dan Sektor Strategik

Peralihan kepada ekonomi berasaskan penciptaan nilai dengan meningkatkan kerencaman ekonomi, seiring dengan hasrat menjadikan Malaysia sebagai consumption powerhouse yang mengeluarkan produk dan perkhidmatan ‘Made by Malaysia’.

Prakasa 4: Menyeimbangkan Kemajuan Ekonomi antara Wilayah dan Mengukuhkan Pembangunan Desa

Pembangunan ekonomi yang lebih seimbang antara wilayah dan kemajuan ekonomi desa yang lebih terangkum bagi memastikan tiada kawasan yang tertinggal dalam arus pembangunan negara.

Prakasa 5: Memperhebat Penglibatan dan Peranan Malaysia di Persada Ekonomi Dunia

Peningkatan keterhubungan dan pertumbuhan ekonomi serantau bagi menjadikan Malaysia peneraju ekonomi di Asia Tenggara.

TERAS: MENAIKKAN LANTAI

Prakasa 6: Menangani Beban Kos Sara Hidup

Pengurusan kos sara hidup rakyat dapat ditambah baik melalui pendekatan serampang dua mata untuk memperkukuh kuasa beli dengan mengurangkan beban perbelanjaan serta meningkatkan pendapatan rakyat.

Prakasa 7: Merekayasa Sistem Sosial Berteraskan Insan MADANI

Pembentukan negara bangsa yang berdaulat dan bermaruah melalui reformasi pendidikan dan pengukuhan sistem sosial berteraskan insan MADANI yang mempunyai nilai kerohanian, aspek manusiawi, jati diri dan semangat patriotisme yang teguh serta masyarakat yang saksama, harmoni, saling menghormati dan bersatu padu.

Prakasa 8: Meningkatkan Mutu Kehidupan Rakyat

Peningkatan keupayaan rakyat untuk beralih kepada kedudukan yang lebih baik dalam hierarki sosial melalui pendekatan keseluruhan negara, terangkum dan berdasarkan kitaran hidup bagi mencapai kehidupan wajar.

Prakasa 9: Mencapai Keadilan Sosial dan Kesaksamaan Peluang

Meningkatkan tahap sosioekonomi golongan sasar, termasuk Bumiputera, Orang Asli, Anak Negeri Sabah dan Bumiputera Sarawak, Cina dan India serta kumpulan sasar khusus bagi memastikan tiada sesiapa yang tertinggal dalam pembangunan negara.

Pelaksanaan semua strategi dan insentif di bawah RMK13 akan dipantau secara telus, sistematik dan menyeluruh bagi memastikan manfaat daripada keberhasilan dapat dinikmati oleh rakyat. Kementerian Ekonomi komited untuk memastikan strategi dan inisiatif di bawah RMK13 dilaksana dan dipantau dengan cekap dan tuntas bagi menyokong kemajuan ekonomi, kesejahteraan rakyat serta tatakelola yang lebih baik. Untuk sebarang maklum balas dan maklumat lanjut, boleh disalurkan melalui Portal RMK13 di laman sesawang https://rmk13.ekonomi.gov.my/.

Scroll to top